12 Januari 2009

Kelahiran istimewa puteri sulung

Mengetahui aku bakal menimang cahayamata, sememangnya berita yang paling menggembirakan sepanjang usiaku yang bakal mencecah 29 tahun. Tambahan pula aku ditakdirkan bertemu jodoh di dalam usia yang lambat namun aku bersyukur, genap sebulan perkahwinanku dengan cinta pertamaku yang terhalang tetapi kembali bertemu…dah jodohkan… aku disahkan hamil. Suamiku juga insan yang paling gembira. Bibirnya sentiasa menguntum senyum. Apatah lagi sememangnya beliau memang menjangkakan kehamilanku itu.

Sebenarnya selepas dua minggu perkahwinanku, aku mula rasa loya-loya dan pening-pening. Adik iparku Aiziah, dah mengesyaki berkemungkinan aku hamil tetapi aku menafikan. Yalah... di dalam tempoh masa sesingkat itu, memang sukar dipercayai. Tambah lagi aku masih mengamalkan minum minuman berkarbonat, memang kebiasaanku setiap kali selesai kes di Mahkamah. Kata orang, kalau minum minuman berkarbonat ni, memang susah nak lekat.






Namun, takdir mengatasi segala. Genap sebulan perkahwinanku, aku demam teruk hingga tidak dapat menghadiri kes di Mahkamah. Suamiku berkeras membawaku ke klinik sebab sebelum ni, aku memang tak pernah ke klinik, memang sejak sebelum kahwin, demamku akan hilang begitu saja sebabnya aku ni jenis yang tak suka makan ubat. Setelah dipaksa, aku gagahkan juga kaki melangkah ke klinik tidak jauh dari rumahku.

Setelah diperiksa, sahlah aku mengandung… cucu ketiga di dalam keluargaku dan cucu pertama di dalam keluarga suamiku. Berita kehamilanku menjadikan aku bagai ratu, adik-adikku yang tinggal bersamaku, adik ipar ku juga, suami ku lebih-lebih lagi ler.. melayan hampir segala keperluan membuatkan aku rasa rimas. Mulanya memang ler seronok tapi lepas tu, aku mula bosan sebab aku bukan jenis yang reti duduk diam. Cumanya sepanjang trimester pertama kehamilan, aku mengalami alahan yang teruk. Masa tulah, baru aku sedar, betapa teruknya ibuku mengandungkan aku dulu… insafnya!!! Alhamdulillah, alahan tersebut tak lama.



Masuk trimester kedua, aku dapat jalani kehidupan seperti biasa bezanya aku tidak
menunggang motosikal lagi. Gelaran peguam ‘rugged’ dah tak relevan dengan aku lagi. Sebaliknya aku kini lebih senang berulang alik menaiki bas sahaja dan selesai kes di Mahkamah, aku akan pulang terus ke rumah. Segala kerja, aku lakukan dari rumah sahaja dan pembantuku akan menghubungi aku bila perlu.

Suatu hari, ketiga itu usia kandunganku menjangkau lima bulan, aku berhasrat untuk menjemur pakaian yang telah siap dicuci. Memandangkan aku tinggal di apartment.. so, untuk menjemur pakaian, aku perlu memanjat satu para-para pecil menggunakan kerusi. Sebelum itu, suamiku telah berpesan berulang kali, jangan dijemur pakaian tu dulu, tunggu dia pulang pukul 6 nanti dan dia akan tolong aku membuat semua tu. Bagi aku pula, sementara menunggu dia pulang petang lebih baik aku yang dah ada kat rumah di tengahari menjemur semua pakaian itu dulu, lebih cepat keringnya.




Dah banyak kali aku engkar kata-kata suami dan kali ini, Allah memberikan hukumanNya kepada aku kerana melanggar pesanan suami. Tika aku menghulurkan kaki ke kerusi untuk turun dari para-para, tiba-tiba kerusi tersebut terbalik sedangkan sebelah kakiku dah terletak di bawah bermakna aku hampir terjatuh. Sedaya upaya aku bergayut pada para-para dan cuba terjun perlahan-lahan. Masa tu, hanya Allah yang tahu perasaanku. Tidak henti-henti aku berdoa agar kandungan aku selamat. Lepas insiden tersebut, aku demam teruk selama seminggu, syukur sebab kata doktor tak ada apa-apa yang tak elok pada kandunganku cuma baby dah ke bawah sikit.

31hb Disember 2002, kami berpindah rumah dari Pandan Mewah ke Ukay Perdana, Ampang. Memandangkan aku dah sarat, aku sekadar tolong yang terdaya walau adik-adikku melarang. Kesian pulak melihatkan adik-adikku dan suamiku (adik iparku dah kembali ke Sarawak) bertungkus lumus mengangkut barang. Hampir seminggu di rumah baru, segalanya belum beres, suami kerja dan adik-adik ada kuliah so, aku gagahkan diri mengemas yang mana patut. Aku menyusun perkakas, mencuci lantai… tak larat berdiri, aku buat sambil duduk malah sambil mengesot.





Hari Rabu 8hb Januari 2003, aku sedang memasak untuk makan malam. Dalam keasyikan itu, aku tersadung kain buruk di lantai menyebabkan aku membuangkan diriku ke tepi dinding bagi mengelakkan diriku daripada terjerumus ke depan. Terasa baby di dalam sedikit bergerak tapi lepas tu, aku rasa ok jer.

Hari Khamis 9hb Januari, kira-kira jam 11.30 malam, aku terasa lain macam pada kandungan. Sesekali terasa macam babyku lincah bergerak. Aku masih dapat bertenang kerana aku dijangka melahirkan pada ujung bulan. Membawa ke tengah malam, aku mula rasa sakit di bahagian pinggang. Sakit sungguh-sungguh. Makin lama makin kerap. Aku pandang suami di sisi. Asyiknya dia tidur, kesian pulak nak kejutkan. Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi… tak per, tunggu subuh nanti ler. Tapi, sekitar 3.30 pagi, aku tak dapat bertahan lagi, pinggangku rasa macam nak tercabut. Aku kejutkan suamiku, pantas dia kejutkan adikku Suzalina, kemas mana yang perlu dan kami terus ke hospital.



Di wad bersalin Hospital Kuala Lumpur, aku diperiksa dan memandangkan dah mula bukak 1cm, aku ditahan di wad. Yang peliknya sejak dari masuk ke wad pukul 4.30 pagi, Jumaat 10hb Januari tu, aku dah tak rasa apa-apa sakit pun. Hinggakan pakar yang memeriksa di pagi Sabtu esoknya, rasa pelik. Bila aku ceritakan kes aku tersadung kain buruk, mereka berpendapat mungkin aku rasa sakit kesan aku hempapkan badan aku ke dinding tu. So, petang Sabtu aku dibenarkan keluar dengan pesanan, bila sakit jer lepas ni, cepat-cepat ke hospital.




Bersama azan Maghrib, aku tiba di rumah. Adik-adik dan suamiku mula rasa tak sedap hati nak tinggalkan aku seorang diri di rumah. Memandangkan esok hari Ahad, suami bercadang untuk menghantar aku balik ke kampung malam tu jugak. So, kami pun berkemas mana yang perlu dan dijangkakan bertolak sekitar tengah malam. Dalam pukul 11.30 malam, aku mengalami kesakitan yang sama pada malam Khamis hari tuh. Suami bertegas nak bawak aku ke hospital tetapi aku berkeras, aku nak balik kampung. Lagipun, aku ingat lagi kata seorang nurse di HKL ari tu, kalau anak sulung, ambik masa 10 jam untuk bukak 10cm, so…kalau 10 jam, dah kira ulang alik KL-Kedah tu. Dah tu, tak ada sebarang tanda-tanda menunjukkan aku nak bersalin, setakat sakit pinggang tu aja.





Dengan kedegilanku, kami meneruskan perjalanan ke Sik, Kedah. Sepanjang perjalanan, sesekali aku terasa sakit sangat tapi sakit di bahagian pinggang dan bila rasa sakit macam tu, aku tarik nafas kuat-kuat dan lepaskan. Suamiku di sebelah dah penat membebel, adik-adikku kat belakang hanya diam menyepi. Sampai di stesyen minyak Petronas Sungai Perak arah utara, suami berhenti bagi mengisi minyak. Adikku Suhaiza, belajar di UIA tika itu, masuk ke Mesra untuk membeli sedikit minuman. Tika itu, sakitku berulang dan sama seperti sebelum ini, aku menarik nafas panjang dan lepaskan, tiada kesakitan lagi dan aku rasa penat sangat, mengantuk pun ada.







Dalam separuh sedar, tiba-tiba adikku Suzalina, pelajar IT di sebuah kolej swasta menepuk bahuku… “Along!! Kau bersalin dah ker?” Aku yang terasa macam nak lena baru perasan, seperti terdengar suara bayi. Perlahan, aku menjenguk ke bawah, aku nampak bayiku menangis melambai-lambai tangan di atas lantai kereta di ujung kakiku. Masa tulah aku bersuara.. “Abangggg…keluar dah!!!”








Kecoh sebentar. Suamiku yang sedang mengisi minyak segera mendapatkan bayiku, jelas kelihatan tali pusatnya. Suamiku mengarahkan aku supaya meneran bagi mengeluarkan uri sebab uri masih di dalam. Aku pulak suruh suami aku tarik jer tetapi suami aku menjerit, teran ler… sedaya upaya aku meneran… entah betul entah tidak tapi tak lama lepas tu, aku nampak suamiku memeluk bayiku.





Pihak stesyen Petronas segera menelefon pihak hospital. Hampir 40 minit menunggu, akhirnya aku dan bayiku dibawa ke Hospital Kuala Kangsar. Jadilah anak sulungku itu anak kelahiran bumi Perak, sedangkan aku kelahiran Kedah dan suami pula Sarawak.







**** Ini catatan yang saya sediakan pada tahun 2004, bagi memenuhi permintaan sebuah syarikat penerbitan tentang kelahiran istimewa. Alhamdulillah, kini permata hatiku itu berusia 6 tahun dan telah pun mempunyai dua orang adik. Ayuni Syafiqah kelahiran Perak, Azfar Suhail kelahiran Kedah dan Afkar Sulaim kelahiran Selangor, syukur ketiga-tiganya aku lahirkan tanpa masalah… mungkin berkat zikir yang aku amalkan sepanjang aku mengandungkan mereka. Moga mereka menjadi anak-anakku yang soleh dan solehah. Amiinnnnn!!

Tiada ulasan: